Terima kasih buat semua pensyarah yang mengajar kami ... :)

Terima kasih buat semua pensyarah yang mengajar kami ... :)

ANALISIS KEBERKESANAN PROGRAM LAWATAN KE SEKOLAH KEBANGSAAN LUKUT, PORT DICKSON

 

FAKULTI PENGAJIAN KOTEMPORARI ISLAM

DIPLOMA PASCASISWAZAH PENDIDIKAN (DPP)

DWP10302

SEKOLAH DAN MASYARAKAT

Tajuk Tugasan:

ANALISIS KEBERKESANAN PROGRAM

LAWATAN KE SEKOLAH KEBANGSAAN LUKUT, PORT DICKSON

Disediakan untuk:

Dr Rosmani binti Ali

Disediakan oleh:

NUR FADLILLAH BINTI MUHAMAD NAZAR (061291)

  

ANALISIS KEBERKESANAN PROGRAM

LAWATAN KE SEKOLAH KEBANGSAAN LUKUT, PORT DICKSON

 

ABSTRAK

 

Antara usaha Kementerian Pendidikan Malaysia adalah ke arah meningkatkan kemenjadian murid dan sekolah berkualiti dengan mengaplikasikan amalan terbaik dalam pelaksanaan pengurusan dan kepimpinan serta pedagogi dalam pengajaran dan pembelajaran selari dengan hasrat yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 - 2025. Jesteru itu, tugasan ini memberi kemahiran kepada pelajar dari aspek menghasilkan tugasan untuk menilai keberkesanan program yang dilaksanakan di sekolah bagi memenuhi tuntutan kelainan dan keperluan pelajar, budaya sekolah dan tuntutan profesion guru sebagai penggerak perubahan masyarakat yang berkesan.

Kata kunci: kemenjadian, keberkesanan, program sekolah.

 

1.0          PENDAHULUAN

Bagi merealisasikan aspek kemenjadian murid yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 – 2025, pelbagai usaha telah dilakukan oleh pelbagai pihak di seluruh institusi pendidikan negara ini. Antara usaha yang dilakukan adalah melibatkan murid di setiap peringkat untuk menyertai program yang dianjurkan di sekolah. Penglibatan murid secara komited dalam menjayakan usaha yang dilakukan oleh pihak penganjur ini menunjukkan objektif mencapai aspek kemenjadian murid adalah tercapai.

 

Menurut Amran, H. A., Majid, R. A., & Ali, M. M. (2019), sistem pendidikan negara kita adalah ke arah melahirkan murid yang sentiasa memperkembangkan potensi diri , berkemahiran insaniah serta modal insan yang bersifat holistik dan progresif. Oleh sebab itu, pihak sekolah dalam kalangan guru-guru mula merangka dan merancang pelbagai jenis program untuk mencapai tujuan tersebut. Justeru itu, di dalam lembaran tugasan ini akan memilih satu program yang menjadi contoh salah satu aktiviti ke arah kemenjadian murid.

 

Sehubungan dengan itu, fokus tugasan ini adalah untuk mengulas dan membincangkan secara khusus terhadap keberkesanan program tersebut. Oleh yang demikian, beberapa artikel telah dibaca dan diteliti dengan baik untuk memahami konteks perbincangan mengenai kaitan yang memberi impak dalam program yang dipilih ini. Seterusnya menghuraikan kesimpulan yang memenuhi objektif dan kehendak subjek sosiologi, Sekolah & Masyarakat yang sedang dipelajari.

 

Oleh itu, bersumberkan rujukan internet, penulis menemui satu program lawatan ke sebuah sekolah berkeperluan khas di Port Dickson, Negeri Sembilan. Menerusi laporan yang diambil, penulis mengambil langkah untuk meneliti keseluruhan isi kandungan laporan. Seterusnya, ulasan serta komentar untuk melihat keberkesanan program ini dinyatakan di bahagian berikutnya.

 

2.0          METODE TUGASAN

Bagi menyempurnakan tugasan ini, metode yang diguna pakai untuk mendapatkan sebanyak mana maklumat berkaitan topik ‘kemenjadian murid’ sebagaimana yang digariskan dalam dasar pendidikan negara. Melalui metode penelitian kualitatif dengan jenis kaedah ke perpustakaan (library research) secara atas talian disebabkan fasa kebimbangan penularan virus pendamik yang berlaku ketika ini. Walaupun secara atas talian, ia tidak menyukarkan untuk menyelesaikan tugasan kertas kerja ini.

 

3.0          OBJEKTIF TUGASAN

Tujuan dan objektif kertas kerja ini dibuat adalah seperti berikut:

A)   Menyatakan sinopsis dan latar belakang program yang dipilih.

B)   Menganalisa keberkesanan pelaksanaan program menerusi objektif yang digariskan.

C)   Memberi komentar bagi kelemahan dan kekurangan program jika ada.

D)   Memberi cadangan bagi penambah baikan dalam program.

 

Melalui tujuan dan objektif yang ingin dicapai di atas, banyak penelitian dibuat agar maklumat yang bakal disampaikan memenuhi kriteria objektif tugasan yang  diingini. Malah dengan penelitian yang dibuat menambahkan ilmu pengetahuan dan daya fikir secara intelektual.

 

4.0          LATAR BELAKANG PROGRAM

Secara ringkas dan sinopsisnya, laporan yang diperoleh ini terbahagi kepada beberapa bahagian. Pada laporan ini terdapat tajuk laporan yang ditulis iaitu Laporan Lawatan Ke Sekolah Kebangsaan Lukut, Port Dickson. Seterusnya, dinyatakan pengenalan ringkas program. Selain itu terdapat di dalamnya matlamat dan objektif program, laporan pelaksanaan program yang terbahagi kepada beberapa aspek. Bahagian akhirnya, diletakkan kesimpulan serta beberapa bukti gambar ketika program dilaksanakan.

 

Program ini merupakan sebuah program yang melibatkan guru pelatih dari unit Pendidikan Jasmani dan Kesihatan dari Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar, Seremban, Negeri Sembilan. Program yang dibuat ini adalah untuk memenuhi tuntutan kerja kursus mereka bagi subjek Pendidikan Jasmani Suaian (PJM 3142) yang telah dipelajari.

 

Matlamat program lawatan ini adalah berfokus untuk memberi kefahaman yang menyeluruh kepada guru pelatih berkaitan dengan aspek-aspek melaksanakan pengurusan dan pentadbiran Pendidikan Jasmani Suaian. Di samping itu, guru pelatih ini juga didedahkan dengan demonstrasi pengajaran mikro oleh guru Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dari Sekolah Kebangsaan Lukut, Port Dickson.

 

Program ini diadakan demi mencapai beberapa objektif antaranya memenuhi sukatan pelajaran yang terkandung dalam subjek Pendidikan Jasmani yang berkaitan dengan kaedah pengajaran Pendidikan Jasmani Suaian. Selain itu, program ini berhasrat untuk mengintergrasikan kemahiran yang dipelajari dengan kemahiran teknologi maklumat dan cara berkomunikasi berkesan untuk melaksanakan latihan yang sistematik, berkesan dan bermakna. Tambahan pula, ia adalah untuk menjelaskan jenis-jenis pentaksiran dan prosedur yang berkaitan dengan pengajaran Pendidikan Jasmani Suaian. Objektif akhirnya, untuk memenuhi tugasan mata pelajaran wajib yang membawa kepada markah akhir kursus.

 

5.0          ULASAN LAPORAN

5.1          PENULISAN LAPORAN

Laporan yang diperoleh ini mempunyai beberapa kelemahan terutamanya berkait dengan waktu program. Di dalam laporan ini tidak dinyatakan dengan jelas bilakah tarikh dan masa ketika program dijalankan. Dalam sesebuah laporan, aspek waktu adalah amat penting dan perlu dinyatakan di dalamnya. Menurut Iman A. (2016), sesebuah penulisan laporan mestilah mudah difahami dengan jelas keadaannya, ringkas dan padat.

 

Menurut Iman A. (2016) dalam artikelnya menyatakan penulisan sesebuah laporan mestilah mempunyai format dan standard tertentu. Walaupun laporan yang dibuat itu adalah hanya tujuan pelaporan sesebuah program atau aktiviti yang telah dijalankan. Tambahan pula, jika laporan yang hendak dibuat adalah berbentuk penulisan ilmiah, sewajarnya laporan dibuat dengan format yang kemas dan tersusun supaya ia dapat memberi manfaat seterusnya menjadi sebuah rujukan berguna kepada generasi akan datang yang memerlukan.

 

5.2          PELAKSANAAN PROGRAM

Pada peringkat awal penerangan laporan yang berkait dengan pelaksanaan program yang dibuat ini, pelapor mengemukakan organisasi pentadbiran Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan Lukut, Port Dickson. Dalam laporan ini dinyatakan latar belakang bagaimana tertubuhnya PPKI pada tahun 2007 yang bermula hanya dengan seorang guru PPKI dan 6 orang murid. Seterusnya, penambahan guru dan murid mula berlaku pada tahun-tahun berikutnya. Murid PPKI yang terdapat di sekolah ini adalah murid yang mempunyai masalah disleksia, syndrome down dan masalah pembelajaran kategori lembam.

 

Selain itu, di dalam laporan ini turut dinyatakan carta organisasi pelaksana program yang terdiri dari para guru pelatih dari unit Pendidikan Jasmani dan Kesihatan dari Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar, Seremban, Negeri Sembilan. Program ini diketuai oleh pensyarah mereka sendiri yang menjadi penasihat bagi kelangsungan program ini berjalan lancar. Melalui organisasi yang disediakan ini dapat dilihat jawatankuasa yang ditetapkan adalah bersesuaian dengan program yang telah dilaksanakan. Peranan setiap jawatankuasa dalam organisasi ini membantu melancarkan program yang dirancang ini berjalan dengan baik. Sebagaimana dalam artikel tulisan Rosyadi, Y. I., & Pardjono, P. (2015) menyatakan sesebuah organisasi kerja mestilah bertanggungjawab dalam setiap jawatan yang dipegang dan menjadikan ketua atau penasihat sebagai rujukan jika mempunyai persoalan atau sebarang permasalahan yang timbul ketika proses gerak kerja dijalankan. Oleh yang demikian, dalam laporan ini dapatlah dilihat penasihat yang merupakan pensyarah kepada guru pelatih ini bertanggungjawab dalam membantu jawatnkuasa pelaksana program ini berjalan dengan baik.

 

5.3          PENILAIAN OBJEKTIF PROGRAM

Menerusi laporan yang dikaji ini, objektif keseluruhan Program Lawatan Ilmiah Pendidikan Jasmani Suaian yang dijalankan ini adalah bermatlamatkan untuk memfokuskan kepada kefahaman yang menyeluruh kepada guru pelatih berkaitan dengan aspek-aspek melaksanakan pengurusan dan pentadbiran Pendidikan Jasmani Suaian. Di samping itu, guru pelatih juga akan didedahkan dengan demonstrasi pengajaran mikro oleh guru PPKI SK Lukut, Port Dickson.

 

Oleh yang demikian, secara keseluruhannya, para guru pelatih ini dapat mencapai objektif program mereka apabila beberapa bukti yang dilihat dalam laporan ini menunjukkan guru PPKI di SK Lukut ini berkongsi teknik pengajaran menerusi alat bantu mengajar yang bersesuaian dengan pelajar berkeperluan khas. Antara contoh demonstrasi yang ditunjukkan oleh pelajar khas ini adalah menerusi perolehan ilmu menerusi permainan tradisional. Tujuan utama proses pembelajaran ini adalah untuk memudahkan dan melatih motor halus murid keperluan khas disamping bersama-sama dengan bimbingan guru PPKI.

 

5.4          ASPEK KEMENJADIAN MURID

Setelah kajian dibuat menerusi laporan dan beberapa bacaan artikel berkaitan dengan murid berkeperluan khas ini, timbul suatu kesedaran yang menyeluruh terhadap keperluan murid khas dalam sistem pendidikan negara kita. Perbezaan mereka dengan murid normal tidak menjadi penghalang kepada keperluan jiwa mereka terhadap ilmu pengetahuan yang terdapat dalam sesebuah sistem pendidikan. Kreativiti dan bimbingan guru PPKI amat diperlukan bagi membantu murid khas ini. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Amran, H. A., Majid, R. A., & Ali, M. M. (2019), murid berkeperluan khas memerlukan pendekatan yang lebih strategik, keperluan bantuan khas, sokongan dan rancangan pengajaran yang bersesuaian dengan keperluan dan potensi mereka. Maka, pendidikan khas sememangnya memerlukan para guru yang berkemahiran dan kompeten dalam mendidik dan melahirkan kemenjadian modal insan yang sejahtera dan mampu untuk berdikari.

 

6.0          CADANGAN PENAMBAHBAIKAN PROGRAM

Sebagai cadangan dan saranan terhadap program yang telah dilaksanakan ini adalah para guru pelatih ini perlu bersama-sama menyediakan suatu bahan inovasi yang bersesuaian dengan keperluan murid khas ini. Mereka sepatutnya bukan sahaja mendapatkan ilmu dari guru PPKI disekolah tersebut yang telah mempunyai pengalaman secara lapangan dan reality bersama murid ini malah idea dan cadangan inovasi dari guru pelatih ini sepatutnya disediakan juga.

 

sebagaimana menurut Daud, A. R., & Jais, S. (2011) guru PPKI perlu mengintegrasikan keperluan teknologi kini dengan keperluan murid khas supaya mereka mengetahui kewujudan teknologi yang semakin maju dan banyak memberi kemudahan dalam sistem pembelajaran yang ada pada hari ini. Pendedahan berkaitan dengan teknologi ini perlu disampaikan oleh para guru dan bersama dengan bimbingan yang tidak mengabaikan aspek nilai-nilai murni dalam kehidupan.

 

7.0          KESIMPULAN

Secara keseluruhannya, program lawatan ke sekolah PPKI SK Lukut ini adalah suatu program yang baik kepada guru pelatih ini dalam membina jati diri seorang guru untuk membimbing murid khas. Namun, beberapa aspek penambahbaikan masih perlu diterapkan agar dapat membantu murid keperluan khas ini menjadi murid yang boleh berdiri seiring dengan murid normal tanpa ada diskriminasi dala keperluan dan pembangunan sosial dalam masayarakat di negara kita.

RUJUKAN ARTIKEL

 

Amran, H. A., Majid, R. A., & Ali, M. M. (2019). Cabaran Guru Pendidikan Khas Pada Abad Ke-21. International Journal of Education, Psychology and Counseling, 4(26), 113-122.

Daud, A. R., & Jais, S. (2011). Integrasi Teknologi Pendidikan Dalam Pendidikan Khas.

Iman, Abdul. (2016). KAEDAH PENYELIDIKAN & PENULISAN LAPORAN PROJEK TAHUN AKHIR. 10.13140/RG.2.1.5174.2486.

Malaysia, K. P. (2015). Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi). Putrajaya, Malaysia: Kementerian Pendidikan Malaysia.

Rosyadi, Y. I., & Pardjono, P. (2015). Peran kepala sekolah sebagai manajer dalam meningkatkan mutu pendidikan di smp 1 cilawu garut. Jurnal Akuntabilitas Manajemen Pendidikan, 3(1), 124-133.

No comments:

Post a Comment