Terima kasih buat semua pensyarah yang mengajar kami ... :)

Terima kasih buat semua pensyarah yang mengajar kami ... :)

RINGKASAN DASAR POLISI KEBANGSAAN 2020

0
COM

                                                  

                                        FAKULTI PENGAJIAN KOTEMPORARI ISLAM

DIPLOMA PASCASISWAZAH PENDIDIKAN (DPP)

DWP10102

FALSAFAH PENDIDIKAN

Tajuk Tugasan:

DASAR DAN POLISI PENDIDIKAN NEGARA MALAYSIA

Disediakan untuk:

Ustaz Ab Aziz Sulaiman

Disediakan oleh:

NUR FADLILLAH BINTI MUHAMAD NAZAR (061291)

 

ABSTRAK

Tugasan ini adalah untuk mengumpul maklumat berkaitan dasar-dasar pendidikan yang di amalkan di negara Malaysia. Dasar dan polisi pendidikan ini dilihat sebelum kemerdekaan, selepas era kemerdekaan negara dan dasar-dasar terkini yang dibawa oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Maklumat yang disampaikan adalah merujuk kepada buku Dasar Pendidikan Kebangsaan (DPK) edisi ke-4 keluaran Kementerian Pendidikan Malaysia cetakan 2017.


1.0          PENDAHULUAN

Setiap anggota tubuh badan mestilah mempunyai sistem-sistem tertentu bagi menjalankan tanggungjawab tertentu bagi kelangsungan hidup. Berfungsinya anggota tubuh badan ini adalah bergantung pada suatu organ penting yang dinamakan jantung. Jika jantung tidak berfungsi maka seluruh anggota tubuh badan turut tidak berfungsi atau mati. Selain itu, analogi sebuah rumah tidak dapat didirikan sempurna jika tiada tiang didirikan. Kedua-dua perumpamaan antara ‘jantung’ dan ‘tiang’ ini adalah mempunyai maksud yang sama dalam setiap perkara. Setiap perkara yang dicipta dan didirikan mestilah mempunyai dasar tertentu supaya menjadi suatu sistem yang kukuh dan mempunyai hala tuju tersendiri. Oleh yang demikian, jika disamakan dengan aspek pendidikan juga mestilah mempunyai dasarnya yang tersendiri.

 

Sistem pendidikan negara kita setiasa mengalami proses perubahan dari masa ke masa. Menerusi buku rujukan Dasar Pendidikan Kebangsaan edisi terkini terbitan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ini memperincikan sistem pendidikan di sekolah-sekolah yang antaranya melibatkan kurikulum dan kokurikulum, bantuan pendidikan dan pelbagai program lain yang menyokong dasar pendidikan.Strategi pelaksanaan, pernyataan dasar dan punca kuasa yang dikemukakan dalam buku ini ialah hasil analisis yang komprehensif berdasarkan kepada Akta Pendidikan 1996 [Akta 550].

 

Oleh yang demikian, kefahaman dan komitmen daripada semua pihak terutamanya warga KPM amat diperlukan bagi memastikan pelaksanaan dasar pendidikan berjaya diterjemahkan dengan betul dan tepat. Dasar yang telah digubal menjadi teras dan tunjang utama bagi menentukan hala tuju pendidikan negara. Oleh itu, sesuatu dasar yang telah digubal pasti mengalami satu proses yang panjang dan rumit sebelum dapat didokumenkan.

 

Pada bahagian ini, akan dijelaskan dasar-dasar pendidikan di negara Malaysia dari penggubalan terkini yang dirujuk menerusi Buku Dasar Pendiidkan Kebangsaan (DPK) edisi terkini iaitu edisi ke empat cetakan pada tahun 2017 yang digubal dan di susun atur oleh Badan berautoriti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

 

2.0          DASAR PENDIDIKAN KEBANGSAAN (2017-2021)

2.1          BUKU DASAR RUJUKAN TERKINI EDISI KE-4

Buku Dasar Pendidikan Kebangsaan Jilid Keempat ialah satu dokumen yang menjadi rujukan utama warga KPM dan pihak yang berkepentingan bagi membuat cadangan, keputusan dan hala tuju pendidikan negara. Melalui buku ini, dasar pendidikan dan program pendidikan yang menyokong dasar diperincikan agar dapat memberi kefahaman yang jelas kepada pihak yang memerlukannya. Oleh segala daya usaha telah digemblengkan oleh para penggubal untuk menerbitkan buku ini wajar dihargai sebaiknya. Setiap kejayaan dasar pendidikan dan program yang menyokong dasar hendaklah disokong dengan kefahaman dan kerjasama yang kukuh daripada semua pihak terutamanya warga KPM.

 

Selain itu, Buku Dasar Pendidikan Kebangsaan (Edisi Keempat) merupakan himpunan semua dasar yang menjadi tulang belakang sistem pendidikan negara kita. Buku ini dikemas kini dan ditambah baik daripada Buku Dasar Pendidikan Kebangsaan (Edisi Ketiga) yang telah diterbitkan pada tahun 2012. Menurut Kamus Dewan Bahasa (Edisi Keempat), dasar atau polisi merupakan pertimbangan tentang cara atau sistem yang utama berkenaan sesuatu, asas, prinsip dan teras.

 

Pada bahagian seterusnya akan dibincangkan secara ringkas isi-isi utama kandungan buku DPK ini sebagai panduan dan rujukan seluruh warga pendidik supaya setiap tindakan dan keputusan dibuat mestilah berpandukan dasar yang telah ditetapkan oleh KPM.

 

2.2          KANDUNGAN DASAR PENDIDIKAN KEBANGSAAN

Dasar juga bermaksud pendirian yang menjadi asas bagi segala tindakan serta faktor terpenting bagi membuat sesuatu keputusan. Buku Dasar Pendidikan Kebangsaan (Edisi Keempat) ini mengandungi enam bab utama yang menghuraikan kesemua dasar, iaitu meliputi sistem pendidikan, sekolah program, program kurikulum dan kokurikulum, bantuan pendidikan, program-program lain di bawah seliaan KPMdan institusi-institusi pendidikan lain yang ditubuhkan hasil kerjasama KPM dengan pihak swasta.

 

Buku ini turut menjelaskan empat perkara utama setiap dasar yang terlibat, iaitu pengenalan dasar, pernyataan dasar, strategi pelaksanaan dasar, dan punca kuasa dasar tersebut untuk memastikan kejayaan hasrat transformasi pendidikan negara melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Buku ini juga amat penting dan relevan sebagai rujukan utama kepada setiap warga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sama ada di peringkat penggubal dasar mahupun pelaksana dasar untuk memastikan kelancaran pelaksanaan sistem pendidikan kebangsaan di negara kita.

 

Kandungan buku ini telah mencakupi dasar berkaitan sistem pendidikan kebangsaan termasuk pentaksiran dan penilaian, latihan guru dan pemimpin pendidikan, pengurusan sumber manusia, pelibatan pihak swasta dalam pendidikan, pengurusan aset dan infrastruktur serta hal-hal lain berkaitan pendidikan di bawah seliaan KPM.

 

2.3          SISTEM PENDIDIKAN KEBANGSAAN

Dasar Pendidikan Kebangsaan dilaksanakan melalui Sistem Pendidikan Kebangsaan (SPK) yang memperuntukkan tiga teras utama, iaitu penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama, menggunakan kurikulum yang sama, iaitu Kurikulum Kebangsaan dan menduduki peperiksaan yang sama. Ketiga-tiga teras utama ini diaplikasikan dalam peringkat pendidikan yang diperuntukkan di bawah SPK, iaitu pendidikan prasekolah, pendidikan rendah, pendidikan menengah, pendidikan lepas menengah sehingga pendidikan tinggi tetapi tidak termasuk pendidikan di sekolah ekspatriat atau sekolah antarabangsa.

 

Kesemua peringkat pendidikan ini boleh diperoleh di institusi pendidikan yang dikategorikan di bawah peruntukan SPK, iaitu institusi pendidikan kerajaan, institusi pendidikan bantuan kerajaan dan institusi pendidikan swasta. Selain itu, SPK turut memperuntukkan pendidikan yang diberikan adalah pelbagai dan komprehensif skopnya bagi memenuhi keperluan negara serta memupuk perpaduan melalui pembangunan budaya, sosial, ekonomi dan politik selaras dengan prinsip-prinsip Rukun Negara. Pelaksanaan SPK turut mengambil kira prinsip am, iaitu murid haruslah dididik mengikut hasrat ibu bapa masing-masing, namun tertakluk kepada keupayaan kerajaan selagi tidak melibatkan perbelanjaan wang awam yang tidak munasabah.

 

Oleh itu, seiring dengan hasrat merealisasikan matlamat FPK dan peruntukan di bawah sistem pendidikan kebangsaan, KPM sebagai penggubal dasar pendidikan amat komited bagi memastikan strategi pelaksanaan setiap dasar yang diterjemahkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sebagai pelaksana dasar dalam bentuk tindakan dipatuhi bagi memastikan kejayaan pelaksanaan dasar yang telah digubal. Komitmen semua peringkat KPM, iaitu bahagian, JPN, PPD serta pengetua/guru besar di sekolah amat diperlukan.

Semua pihak dalam susur galur KPM disarankan mengambil inisiatif meneliti, mengkaji, memahami, menghayati dan melaksanakan setiap strategi pelaksanaan dasar yang digubal dengan menggerakkan jentera bertindak di setiap peringkat organisasi masing-masing. Harapan KPM agar komitmen yang jitu, dan pelaksanaan yang kemas dan sistematik serta kerjasama semua pihak yang terlibat dapat memperoleh kejayaan yang cemerlang dan gemilang.

 

3.0          3.0 BAB UTAMA DASAR PENDIDIKAN KEBANGSAAN

3.1          DASAR SISTEM PENDIDIKAN KEBANGSAAN

Pada bahagian bab ini telah memperincikan Sistem Pendidikan Kebangsaan yang menjadi tonggak pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan di Malaysia. Terdapat enam topik utama yang dihuraikan dalam bab ini, iaitu peringkat pendidikan, kategori sekolah, bahasa pengantar, kurikulum kebangsaan, perpaduan, dan penilaian dan pentaksiran yang digunakan dalam sistem pendidikan di Malaysia.

 

Peringkat pendidikan di Malaysia adalah daripada peringkat prasekolah, rendah, menengah dan lepas menengah. Bagi kategori sekolah pula terdiri daripada sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan institusi pendidikan swasta. Perbezaan antara sekolah kerajaan dengan sekolah bantuan kerajaan mengikut Akta Pendidikan 1996 [Akta 550] adalah dari segi pemilikan tanah sekolah tersebut. Institusi pendidikan swasta yang dimaksudkan dalam buku ini ialah sekolah swasta atau institusi pendidikan swasta yang bukan sekolah atau institusi pendidikan kerajaan atau bantuan kerajaan dan mematuhi peruntukan Akta Pendidikan 1996 [Akta 550]. Institusi pendidikan swasta menggunakan kurikulum kebangsaan, bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar, dan menyediakan murid untuk menduduki peperiksaan yang ditetapkan. Bab ini juga menghuraikan dasar bahasa pengantar, kurikulum kebangsaan dan penilaian serta pentaksiran yang diperuntukkan dalam Akta Pendidikan 1996 [Akta 550] berkaitan sistem pendidikan kebangsaan di samping turut memperincikan dasar perpaduan nasional menerusi pendidikan di Malaysia.


3.2          DASAR SEKOLAH PROGRAM

pelbagai jenis sekolah program di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang diketengahkan merangkumi pelbagai konsep untuk meningkatkan kualiti pendidikan di bawah seliaan KPM. Bab ini memperincikan dasar sekolah-sekolah yang mengikuti program tertentu yang diperkenalkan oleh KPM. Sekolah yang telah mengikuti program-program tersebut dikenali sebagai sekolah program.

 

Terdapat Pada masa yang sama, terdapat juga sekolah program yang diperkenalkan untuk tujuan mencapai perpaduan kaum, sebagai contoh Sekolah Wawasan. Selain itu, terdapat juga sekolah program yang bertujuan untuk mencungkil dan mengetengahkan bakat murid, contohnya Sekolah Seni Malaysia dan Sekolah Sukan. Terdapat pelbagai lagi sekolah program yang mempunyai fungsi tertentu untuk memastikan hasrat PPPM 2013 – 2025 dapat dicapai dengan jayanya.

 

Antara sekolah program di bawah seliaan KPM adalah Sekolah Wawasan, Sekolah Amanah, Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK), Sekolah Model Khas Komprehensif K9, Sekolah Model Khas, Sekolah Berasrama Penuh, Kolej Vokasional, Sekolah Seni Malaysia, Sekolah Sukan, dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama.

 

3.3          DASAR PROGRAM KURIKULUM DAN KOKURIKULUM

Kementerian Pendidikan menyediakan program kurikulum dan kokurikulum khusus untuk murid bermula daripada peringkat sekolah rendah, menengah sehinggalah peringkat lepasan menengah. Program yang dirancang bertujuan untuk memperkukuh kemenjadian murid secara holistik. Melalui program kementerian, diharapkan murid bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik tetapi juga cemerlang dalam aspek sahsiah, kesihatan, kemahiran kepimpinan dan kemahiran berfikir.

 

Terdapat lebih dari sepuluh program Kurikulum yang dibentuk oleh KPM bagi menjayakan falsafah pendidikan Kebangsaan. Antaranya adalah program Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang bertujuan untuk membentuk masyarakat yang menguasai BM dan BI dalam sistem pendidikan negara. Selain itu program Pemartabatan Pendidikan Bahasa Melayu bertujuan memartabatkan pendidikan bahasa Melayu melalui perancangan strategik dan pedagogi berkesan di bilik darjah. Seterusnya tidak lupa program Highly Immersive Programme (HIP) yang berperanan mewujudkan satu persekitaran immersive bahasa Inggeris di sekolah dengan menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid sekolah. Namun begitu, program Dual Language Programme (DLP) tetap diwujudkan oleh KPM untuk meningkatkan penguasaan kemahiran berbahasa Inggeris dalam kalangan murid melalui peningkatan masa pendedahan kepada bahasa Inggeris dalam pembelajaran dan pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

 

Selain itu, Program Peningkatan Kemahiran Bahasa Inggeris di Sekolah (PPKBIS) memberi tumpuan kepada meningkatkan kemahiran murid menengah dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris (BI) terutamanya bagi meningkatkan peratus lulus BI sekolah hotspot pada peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Program Professional Up-Skilling of English Language Teachers (Pro-ELT) pula berperanan untuk memastikan guru bahasa Inggeris mendapat pencapaian minimum penguasaan tahap Band C pada CEFR. Seterusnya Program Diploma International Baccalaureate® (IB) untuk melahirkan modal insan seimbang berfikiran global yang menghargai kemanusiaan dan apresiasi terhadap alam untuk kehidupan yang aman dan sejahtera.


KPM mewujudkan program Program j-QAF di mana ia merupakan suatu usaha memperkasakan Pendidikan Islam melalui penekanan khusus dalam pengajaran Jawi, al-Quran, bahasa Arab dan fardu ain yang dilaksanakan di peringkat persekolahan rendah menggunakan kurikulum, model dan modulnya yang tersendiri serta peruntukan jadual waktu sedia ada, di samping penggunaan tenaga guru yang khusus untuk pemulihan, bimbingan, kemahiran, pengukuhan, pengayaan dan penghayatan murid.

Sebuah program yang dinamakan Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA) bertujuan untuk melahirkan golongan profesional, teknokrat dan usahawan hafiz yang mengamalkan ajaran Islam (mutadayyin), dan memiliki pelbagai kemahiran ilmu selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.modulnya yang tersendiri serta peruntukan jadual waktu sedia ada, di samping penggunaan tenaga guru yang khusus untuk pemulihan, bimbingan, kemahiran, pengukuhan, pengayaan dan penghayatan murid. Ia berbeza dengan program Kelas Aliran Agama (KAA) di SMK menyediakan kemudahan kepada murid-murid Islam yang dapat mengikuti pembelajaran dan pengajaran pendidikan agama terbaik, berkualiti dan terancang ke arah melahirkan profesional dan teknorat yang beragama (mutadayyin), dan pelapis ulamak yang berwibawa, di samping menampung permintaan ibu bapa dan murid yang bercita-cita melanjutkan pengajian dalam bidang agama.

 

Selain itu, program Kurikulum KPM adalah Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), Program Literasi dan Numerasi (LINUS) 2.0, Middle Years Programme International Baccalaureate (MYPIB) dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

 

Manakala bagi program Kokurikulum adalah merupakan Aktiviti kokurikulum bertujuan memastikan semua murid melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti melalui pasukan badan beruniform, persatuan atau kelab serta sukan dan permainan ke arah pemantapan jati diri dan pembangunan modal insan yang cemerlang. Oleh itu, KPM mewujudkan program 1Murid 1Sukan dapat membangunkan modal insan yang seimbang melalui penyertaan murid yang menyeluruh dalam aktiviti sukan sepanjang tahun serta memupuk budaya bersukan dalam kalangan murid sekolah untuk menjadi ahli masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas sepanjang hayat.

 

3.4          DASAR PROGRAM PENDIDIKAN

Dasar ini menghuraikan dasar bagi program pendidikan yang dipertanggungjawab kepada KPM bagi menyediakan dan menawarkan pendidikan yang holistik, dan mengikut kesesuaian keadaan semasa dengan mengambil kira pelbagai aspek. Program pendidikan yang diperkenalkan meliputi aspek pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran dengan lebih berkesan, kerjasama dengan pihak luar dalam pelaksanaan pendidikan, pembestarian sekolah berdasarkan sumber ICT dan teknologi, pengurusan kewangan, peningkatan profesionalisme perguruan serta mengambil kira aspek pengurusan kebajikan guru dan murid.

 

3.5          DASAR BANTUAN PENDIDIKAN

Dasar ini digubal untuk menerangkan bantuan pendidikan yang disediakan oleh KPM dengan lebih terperinci. Bantuan pendidikan merupakan usaha murni kerajaan bagi merapatkan jurang pendidikan yang wujud antara murid di bandar dengan murid di luar bandar, golongan miskin dengan golongan berada, murid normal dengan murid berkeperluan khas serta kemudahan bagi murid yang ditimpa bencana. Bagi meringankan beban kewangan ibu bapa atau penjaga, pemberian bantuan pendidikan dapat meningkatkan motivasi murid untuk terus menimba ilmu sehingga ke peringkat yang lebih tinggi selaras dengan aspirasi PPPM 2013 - 2025. Bantuan Pendidikan yang disediakan oleh KPM mampu memenuhi matlamat bagi memastikan semua sekolah dan murid mempunyai peluang dan keupayaan yang sama untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran dan aktiviti kokurikulum. Bantuan pendidikan dapat membantu proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) murid, juga dalam aspek kebajikan dan keperluan sosial murid.

 

3.6          DASAR INSTITUSI PENDIDIKAN ATAU INSTITUSI LAIN

Dasar ini dibuat oleh KPM bagi memperincikan dasar berkaitan institusi pendidikan/institusi lain yang menyediakan pengajaran dan pembelajaran tetapi tidak terbatas kepada pengajaran mana-mana agama semata-mata dan tidak diisytiharkan oleh Menteri Pendidikan sebagai bukan institusi pendidikan. Terdapat empat jenis institusi pendidikan/institusi lain yang dinyatakan dalam buku ini, iaitu institusi pendidikan yang disediakan oleh agensi kerajaan, institusi pendidikan yang disediakan oleh agensi bukan kerajaan dan institusi-institusi pendidikan/institusi lain yang disediakan oleh pelbagai agensi lain. Walau bagaimanapun, buku ini hanya memperincikan sebahagian institusi pendidikan/institusi lain yang berkaitan dengan pendidikan di Malaysia.

               

PERBEZAAN PERKEMBANGAN INDIVIDU KAJIAN TERHADAP PERBEZAAN MURID PRASEKOLAH DENGAN SEKOLAH RENDAH

0
COM

 FAKULTI PENGAJIAN KOTEMPORARI ISLAM

 DIPLOMA PASCASISWAZAH PENDIDIKAN (DPP)

Nama Kursus:

DWP 10202 | APLIKASI PSIKOLOGI DALAM PENDIDIKAN

Tajuk Tugasan:

PERBEZAAN PERKEMBANGAN INDIVIDU KAJIAN TERHADAP

PERBEZAAN MURID PRASEKOLAH DENGAN SEKOLAH RENDAH

Disediakan untuk:

ENCIK HAJI MARZUKI BIN NGAH

 Disediakan oleh:

NUR FADLILLAH BINTI MUHAMAD NAZAR (061291)

 

PERBEZAAN PERKEMBANGAN INDIVIDU KAJIAN TERHADAP

PERBEZAAN MURID PRASEKOLAH DENGAN SEKOLAH RENDAH 

 

ABSTRAK

Perbezaan individu dalam konteks pengajaran dan pembelajaran ialah kepelbagaian sifat pelajar daripada aspek tahap prestasi, kadar belajar, gaya kognitif, gaya belajar, etnik, budaya, kelas sosial, bahasa, jantina bakat dan minat. Satu kajian menerusi kaedah pemerhatian terhadap individu kanak-kanak yang berada pada tahap Pra Sekolah dan Tahap Sekolah Rendah dijalankan. Perbezaan individu dalam kalangan pelajar tersebut dinilai menerusi daripada aspek fizikal, emosi, sosial, gaya belajar dan personaliti.

Kata kunci: perbezaan individu, personality, kognitif

1.0          PENDAHULUAN

Setiap manusia yang dilahirkan ke muka bumi ini sentiasa mengalami perubahan usia bermula dari dalam kandungan, bayi, kanak-kanak sehingga dewasa. Perubahan yang berlaku ini merupakan perubahan yang semulajadi bagi setiap manusia sehingga usia mereka ditamatkan atau meninggal dunia. Manusia akan menjalani kehidupan mengikut fasa-fasa tertentu atau dari satu tahap ke satu tahap seterusnya. Manusia dewasa sering kali merindui zaman kanak-kanak mereka. Hal ini disebabkan usia kanak-kanak dipanggil sebagai ‘golden age’ atau usia emas kerana waktu itu mereka mula meneroka banyak keadaan di sekeliling. Perumpamaan emas yang digunakan menunjukkan betapa berharganya zaman kanak-kanak kerana hanya akan dilalui sekali seumur hidup dan tidak akan berulang kembali.

 

Menurut pakar psikologi, Jean Piaget zaman kanak-kanak adalah suatu zaman yang melalui fasa perkembangan tertentu. Perkembangan tersebut adalah berkait rapat dengan perkembangan fizikal dan mental mereka. Kanak-kanak akan melalui perkembangan kognitif yang merangkumi pembinaan gaya pemikiran kanak-kanak dan interaksi terhadap keadaan sekeliling. Malah, pada fasa perkembangan kanak-kanak mula mempelajari sesuatu perkara untuk mengadaptasi persekitaran hidup mereka.

 

Sehubungan dengan itu, fokus tugasan ini adalah untuk mengulas dan membincangkan secara khusus terhadap perkembangan kanak-kanak dalam fasa pembelajaran mereka terhadap sesuatu perkara. Hal ini berkait dengan perbezaan individu kanak-kanak tersebut dari faktor personaliti yang ada dalam diri mereka dan faktor persekitaran.

 

Oleh yang demikian, kajian terhadap seorang kanak-kanak prasekolah dan seorang kanak-kanak sekolah rendah dipilih menjadi sebagai responden. Masing-masing dinilai secara pemerhatian dan soal selidik agar dapat mengetahui perbezaan antara individu kanak-kanak tersebut terutamanya hal-hal berkaitan proses pembelajaran mereka terhadap sesuatu.

 

2.0          METODE TUGASAN

Bagi menyempurnakan tugasan ini, metode yang diguna pakai untuk mendapatkan maklumat menerusi pemerhatian dan soal selidik responden. Setelah itu, menerusi maklumat yang terkumpul, kajian berkaitan tahap perbezaan individu ini dihubung kaitkan dengan ilmu psikologi pendidikan fasa kanak-kanak.

 

Oleh yang demikian, sebanyak mana maklumat berkaitan topik psikologi kemenjadian murid prasekolah dan sekolah rendah sebagaimana yang digariskan dalam dasar pendidikan negara mula dirujuk. Melalui metode penelitian kualitatif dengan jenis kaedah ke perpustakaan (library research) secara atas talian disebabkan fasa kebimbangan penularan virus pendamik yang berlaku ketika ini. Walaupun secara atas talian, ia tidak menyukarkan untuk menyelesaikan tugasan kertas kerja ini.

 

3.0          OBJEKTIF TUGASAN

Tujuan dan objektif kertas kerja ini dibuat adalah seperti berikut:

A)   Mengetahui latar belakang peribadi seorang kanak-kanak prasekolah dan sekolah rendah yang dipilih.

B)   Menganalisa dan memerhati perbezaan individu dalam kalangan kanak-kanak tersebut daripada aspek fizikal, emosi, sosial, gaya belajar dan personaliti.

C)   Menyenaraikan faktor-faktor yang menyebabkan kewujudan perbezaan individu kanak-kanak tersebut..

 

Melalui tujuan dan objektif yang ingin dicapai di atas, banyak penelitian dibuat agar maklumat yang bakal disampaikan memenuhi kriteria objektif tugasan yang diingini. Malah dengan penelitian yang dibuat menambahkan ilmu pengetahuan dan daya fikir secara intelektual.

 

4.0          LATAR BELAKANG KANAK-KANAK

Secara ringkas dan sinopsisnya, dua orang kanak-kanak telah dipilih dalam kajian ini yang mempunyai jantina yang sama iaitu perempuan. Namun berbeza umur dan tahap pendidikan. Masing-masing secara individunya adalah pelajar prasekolah dan pelajar sekolah rendah. Aspek psikologi pendidikan awal kanak-kanak di prasekolah dan pendidikan kanak-kanak sekolah rendah adalah berbeza. Menerusi kajian ke atas dua individu ini pelbagai maklumat yang berkaitan diambil untuk menentukan faktor perbezaan tersebut. Berikut adalah latar belakang pelajar tersebut:

4.1          KANAK-KANAK PRASEKOLAH

NAMA PENUH

Adnin Nuha Binti Muhd Nazri

TARIKH LAHIR

19/11/2016

TINGGI

95 CM

BERAT

13 KG

UMUR

5 tahun

SEKOLAH

Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI)

HOBI

Menonton televisyen, mewarna, bermain basikal

CITA-CITA

Guru

WARNA KESUKAAN

Merah jambu

MAKANAN KEGEMARAN

Coklat, Teh Boba

BIL ADIK BERADIK

4

ANAK KE

3

UMUR KETIKA PANDAI

Mengira 1-10: 3 tahun

Mengenal ABC: 5 tahun

Mengenal alif ba ta: 5 tahun

4.2          KANAK-KANAK SEKOLAH RENDAH


NAMA PENUH

Nurul Fathonah bt Muhd Faqli

TARIKH LAHIR

12/04/2011

TINGGI

125 CM

BERAT

23 KG

UMUR

10 Tahun

SEKOLAH

Sekolah Kebangsaan Batu 48, Dungun

HOBI

Membaca dan Melayari Internet

CITA-CITA

Guru

WARNA KESUKAAN

Merah jambu

MAKANAN KEGEMARAN

Milo Ais

BIL ADIK BERADIK

4

ANAK KE

1

UMUR KETIKA PANDAI

Mengira 1-10: 3 tahun

Mengenal ABC: 4 tahun

Mengenal alif ba ta: 4 tahun

JAWATAN YANG DI SANDANG DI SEKOLAH

Pengawas Pusat Sumber Sekolah

PENGLIBATAN DALAM KOKURIKULUM

Pertandingan Vlog

(Video Ulas Bedah Buku Bacaan)


5.0          RASIONAL KAJIAN PEMERHATIAN

Perbezaan individu yang mempunyai kepelbagaian wujud antara kanak-kanak prasekolah dan sekolah rendah ini perlu dikaji dan difahami dengan sebaiknya dalam membantu untuk memahami gaya pembelajaran dan diselitkan dengan latar belakang budaya setiap murid dalam menentukan strategi pengajaran yang lebih berkesan.  Ini dapat menunjukkan betapa pentingnya untuk memahami serta mengetahui gaya pembelajaran kanak-kanak yang membawa kefahaman kepada mereka terhadap sesuatu perkara. Perbezaan individu ini akan membawa kesan kepada gaya dan corak pembelajaran mereka.  Demi mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran, kajian ini dibuat menerusi kaedah pemerhatian ini adalah untuk memahami dan mengenali setiap jenis kanak-kanak yang berbeza, impak kesan psikologi yang ada dapat mencapai kejayaan daripada hasil pembelajaran mereka di sekolah mereka sama ada di peringkat prasekolah mahupun sekolah rendah.

 

Semasa saya menerima tugasan ini, saya mula mendapatkan maklumat pelajar prasekolah dan sekolah rendah sekitar kawasan perumahan saya untuk dijadikan sebagai responden. Akhirnya, saya menemui dua orang responden yang diperlukan atas kriteria yang sepadan seperti yang diperlukan. Responden pertama adalah Adnin Nuha (5 tahun) dari prasekolah manakala responden kedua adalah Fathonah (11 tahun) dari sekolah rendah. Menerusi pemerhatian saya, kedua-dua responden ini memenuhi kriteria yang diperlukan. Berdasarkan kriteria responden yang diminta dalam kajian ini adalah kanak-kanak yang hendak di pilih mestilah dalam kalangan murid prasekolah yang usianya sekitar 4 hingga 6 tahun dan kanak-kanak  sekolah rendah sama ada di tahap tahun 1 hingga tahun 6.  Oleh itu, Nuha dan Fathonah bertepatan dengan kriteria umur yang dikehendaki.

 

Selain itu, proses pemerhatian ini berjalan semasa responden dalam keadaan sedar mahupun tidak sedar mereka sedang diperhatikan. Malah, saya memilih mereka yang sama jantina adalah supaya tidak timbul soal bias ketika pemerhatian dijalankan. Selain itu, ia selari dan bersesuaian dengan tahap perkembangan yang ingin diuji dan laksanakan terhadap mereka. Menariknya adalah kerana mereka mesra dan mematuhi arahan yang diberikan. Hal ini menjadikan segala pelaksanaan dan proses menjalankan kajian mudah dan berjalan dengan baik.

6.0          TEORI PERKEMBANGAN

Perkembangan kanak-kanak pula merupakan bidang yang mengkaji tahap dan potensi seseorang dari bayi sehingga dewasa. Perkembangan kanak-kanak ialah kajian proses dan mekanisme yang bertindak sewaktu perkembangan fizikal dan mental seorang bayi menjadi orang dewasa (Wikipedia). Bidang ini muncul pada awal abad ke-20 tetapi hanya cenderung kepada tingkahlaku tidak normal sahaja. Kemudiannya, barulah bidang ini semakin meluas dan mendapat perhatian dengan adanya pelbagai teori yang dikemukakan oleh ahli-ahli psikologi.

 

Teori-teori yang dikemukakan oleh para ahli psikologi ini melibatkan empat aspek yang utama iaitu perkembangan kognitif, sosial, emosi dan fizikal. Terdapat juga ahli psikologi yang mengkaji perkembangan bahasa. Setiap aspek ini adalah perlu untuk dikaji dan diketahui kerana melalui cara ini kita dapat lebih memahami seseorang. Antara ahli-ahli psikologi yang terkenal dengan teori perkembangan ialah Jean Piaget, Arnold Gessel, Robert Havighurst, Erik Erikson dan Sigmund Freud. Walaubagaimanapun, tidak kesemua teori yang diperkenalkan berkaitan dengan pembangunan pendidikan kanak-kanak di negara kita.

 

6.1       PERKEMBANGAN KANAK-KANAK (PRASEKOLAH)

Jean Piaget, ahli psikologi Switzerland telah mengasaskan teori perkembangan kognitif yang menjelaskan tentang kaedah manusia mmempersepsi ilmu dan membina hipotesis serta bagaimana minda manusia membina skemata dan melaksanakan proses asimilasi dan akomodasi dalam membina ilmu. Menurut Piaget dalam Haliza dan Joy (2011), proses pemikiran manusia berubah secara menyeluruh bermula selepas lahir sehingga manusia mencapai tahap kematangan.

 

Peringkat umur kanak-kanak prasekolah ini merujuk kepada teori Piaget pada peringkat kedua iaitu peringkat pra-operasi yang berlaku dari umur 2 tahun hingga 7 tahun. Pada peringkat ini kanak-kanak akan mula membentuk skema-skema baru. Mereka mempunyai kebolehan untuk mewakili sesuatu dengan sesuatu simbol, menceritakan pengalaman menggunakan ayat-ayat mudah dan mereka juga akan meniru atau mengajuk perwatakan yang pernah dilihat. Hal ini dapat diperhatikan menerusi responden pertama, Nuha yang mampu menjawab pertanyaan-pertanyaan mudah yang diajukan. Malah Nuha mampu meniru kembali apa yang dilihat dengan peniruan yang hampir 90 peratus persamaannya. Apabila Nuha melihat dialog upin Ipin di televisyen, Nuha mampu mengulangi kembali ayat tersebut dengan agak sempurna susunannya.

 

Manakala, teori yang diperkenalkan oleh Erik Erikson ini menekankan kepentingan hubungan sosial dengan individu-individu di persekitaran kana-kanak fasa prasekolah pula dapat dilihat menerusi peringkat umur 4-6 tahun teori ini. Ia dikenali peringkat Inisiatif lawan rasa bersalah. Erikson menyatakan kanak-kanak usia ini mula pandai dan cuba untuk berdikari, ada inisiatif untuk melakukan sesuatu sendiri, sekiranya gagal boleh membawa rasa bersalah. Nuha mampu membasuh tangan dan pinggan sendiri tanpa disuruh. Apabila ditanya, Nuha menjawab dia pernah melihat ibunya akan membasuh tangan dan pinggan sendiri selepas makan. Oleh itu, Nuha cuba berusaha untuk melakukan perkara sama. Walaupun diminta untuk tidak meneruskan usahanya membasuh pinggan, dia tetap dengan pendirian bahawa mahu tolong ibunya kerana kasihan melihat ibunya basuh pinggan mangkuk lain seorang diri.

 

6.1          PERKEMBANGAN KANAK-KANAK (SEKOLAH RENDAH)

Menurut Piaget kanak-kanak pada peringkat ini sedang menjalani operasi konkrit (7-11 tahun). Kanak-kanak fasa ini sudah mampu berfikir secara logik dan memahami proses transformasi, keterbalikan dan menaakul. Fasa sekolah rendah juga menjalani peringkat terakhir di dalam teori Piaget iaitu peringkat operasi formal. Peringkat ini bermula ketika umur 11 tahun. Mereka sudah boleh berfikir secara abstrak, membuat hipotesis, berfikir secara sistematik dan boleh melakukan proses mental ke atas idea-idea dan membuat andaian berdasarkan fakta.

 

Manakala menurut Erikson pula kanak-kanak usia sekolah rendah ini sedang melalui peringkat Industri lawan rasa rendah diri. Kanak-kanak mula usaha dan cuba menguasai kemahiran-kemahiran tertentu di alam persekolahan, kegagalan akan membawa rasa rendah diri dan tiada keupayaan. Hal ini dapat dilihat pada diri Fathonah ketika di dalam kelas dia bersaing dengan sepupunya yang berlainan jantina. Pernah suatu ketika fathonah mendapat tempat ke-2 di dalam kelas membelakangi sepupu lelakinya yang mendapat tempat pertama di dalam kelas. Waktu itu, Fathonah tidak dapat menahan rasa rendah diri sehingga menangis dan menyembunyikan diri di dalam bilik. Namun, setelah dipujuk dan diberi semangat oleh ibubapa dan ahli keluarga lain, Fathonah mula bersemangat kembali dan cuba untuk lakukan lebih baik di masa akan datang. Akhirnya, Fathonah berjaya mendahului sepupunya pada ujian berikutnya.

 

7.0          ASPEK PERKEMBANGAN FIZIKAL

Aspek fizikal ini adalah perbezaan yang diwarisi. Melalui aspek fizikal kita dapat memerhatikan perbezaan individu dari segi kelihatan luaran seperti paras rupa, susuk badan dan sebagainya serta fizikal yang tidak boleh lihat iaitu fizikal dalaman seperti saiz otak dan jumlah neuron.  Ini dapat kita lihat perbezaan perkembangan saiz badan kanak-kanak perempuan pada usia prasekolah dan sekolah rendah adalah berbeza. Malah ia berkait rapat dengan genetic warisan yang diturunkan menerusi ibubapa masing-masing.

 

Berdasarkan pemerhatian saya terhadap Nuha merupakan kanak-kanak yang sihat. Fizikal Nuha adalah sempurna dan tiada kecacatan. Dia mewarisi warna kulit dan paras rupa ibunya berbanding bapanya. Ketinggian Nuha juga tidaklah terlalu pendek atau tidaklah terlalu tinggi pada usianya itu. Nuha juga merupakan seorang kanak-kanak perempuan yang mempunyai BMI yang normal. Nuha juga tidak mempunyai sebarang penyakit yang membahayakan.

 

Seterusnya, berdasarkan pemerhatian saya terhadap Fathonah pula ialah saya mendapati bahawa Fathonah juga kanak-kanak yang sihat. Dia juga tidak mempunyai sebarang penyakit yang membahayakan .Fathonah merupakan seorang kanak-kanak perempuan yang mempunyai BMI yang normal. Dia mempunyai susuk badan yang kurus dan agak tinggi mempunyai kemahiran jasmani untuk bermain bola jaring. Selain itu, jika dilihat juga Fathonah mewarisi rupa paras dan warna kulit mengikut ibunya berbanding ayahnya. DIa mewarisi ibunya memakai spek mata kerana rabun. Bapanya tidak mempunyai masalah rabun.

 

8.0          ASPEK KOGNITIF

Setiap individu berbeza dari segi keupayaan berfikir, belajar, mengingat, menaakul, menganalisis serta bakatnya.  Kanak-kanak juga mempunyai aras kognitif yang berlainan.  Mereka mungkin memproses rangsangan-rangsangan yang diterima daripada persekitaran dengan cara-cara yang berlainan. Lebih-lebih lagi mereka berada di institusi pendidikan yang berbeza. Masing-masing dari prasekolah dan sekolah rendah yang semestinya mempunyai persekitaran yang berbeza.

 

Jika dilihat Nuha merupakan pelajar prasekolah di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI). PASTI ialah institusi pendidikan yang ditubuhkan sebagai salah satu institusi prasekolah pilihan kepada masyarakat yang mencintai pendidikan Islam. Justeru itu, ia memainkan peranan yang penting dalam memberi alternatif pendidikan Islam kepada masyarakat. PASTI mempunyai pengisian dan misinya yang tersendiri, iaitu melahirkan insan yang beriman dan beramal soleh. Kurikulum PASTI juga dibangunkan untuk mencapai matlamat tersendiri iaitu Membaca, Menulis, Mengira, Menghafal dan Mengamalkan Ilmu yang Dipelajari. Nuha mempunyai pengalaman di PASTI ketika usia 4 tahun lagi, dimana ketika itu kaedah yang dijalankan di PASTI adalah lebih kepada konsep “Belajar Melalui Bermain” yang sering diselaraskan dengan sifat semula jadi kanak-kanak iaitu bermain, ingin tahu dan mencuba.

 

Manakala bagi Fathonah pula di sekolah rendah menjalani persekitaran pembelajaran yang berpandukan kementerian Pendidikan yang berasaskan Kurikulum Standars Sekolah Rendah (KSSR) yang mana mengikut lunas Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang ingin melahirkan kanak-kanak sekolah rendah yang berakhlak mulia, bersepadu dan menyeluruh pengetahuannya. Kelebihan mengikuti program di sekolah kebangsaan adalah Fathonah mampu mempelajari banyak perkara demi merealisasikan matlamat pendidikan Kebangsaan. Persaingan sihat di dalam kelas juga ditonjolkan oleh Fathonah.


9.0          ASPEK EMOSI DAN TINGKAH LAKU

Setiap kanak-kanak mempunyai tahap emosi yang berlainan.  Hal ini demikian kerana mereka berasal keluarga yang mempunyai tahap sosio-emosi dan kemahiran-kemahiran sosial yang berlainan. Emosi ini juga boleh jadi berasal dari ibu bapa. Tahap kecerdasan emosi ini adalah berbeza. Contoh emosi, ketakutan, sensitif, cepat marah, pemalu, pasif dan sebagainya.  Lebih-lebih lagi jika perbezaan emosi mengikut usia kanak-kanak.

 

Menerusi pemerhatian yang dibuat Nuha mempunyai emosi yang agak garang tetapi tegas. Walaupun usianya masih kecil, Nuha sangat tegas mungkin hasil didikan ibunya seorang guru di sekolah rendah kebangsaan. Nuha bijak dalam memberi arahan tegas kepada sesiapa di persektarannya. Contohnya, Nuha meminta sepupunya buang sampah yang dibuang oleh sepupunya di atas lantai. Nuha seolah-olah memberi arahan kepada seseorang seperti gaya seorang guru. Hal ini mungkin mewarisi ibunya dan mengulang tiru gaya didikan ibunya di rumah seterusnya diaplikasikan pada persekitran bersama kawan-kawan.

 

Nuha juga mempunyai tingkah laku cerewet tetapi cermat. Nuha akan menyusun kembali barang mainan yang telah dikeluarkan dari tempat asal mengikut susunan asal. Jika dia mendapati susunan yang dikemas tidak sama dengan yang asal, dia akan berusaha untuk menyusun sehingga capai kepuasan hatinya. Tingkah laku Nuha agak sopan kerana sentiasa duduk dalam keadaan yang beradab di hadapan orang yang lebih tua dan dia sangat hormat orang lebih tua dengan sifatnya yang suka senyum dan salam dengan orang yang lebih tua darinya.

 

Manakala, menerusi pemerhatian terhadap Fathonah, dia lebih emosi yang penuh kesabaran pada setiap perkara. Fathonah merupakan anak sulung dalam keluarga. Dia akan berusaha sedaya upaya untuk tidak memarahi adik-adiknya tetapi lebih suka untuk menasihati adik-adiknya ketika mereka buat kesalahan. Hal ini mungkin boleh jadi mewarisi ibunya seorang pegawai kewangan di pejabat kerajaan yang sentiasa perlu sabar dengan kerenah klien dan ibunya juga sangat bersabar dengan kerenah anak-anak dirumah. Ibunya tidak pernah meninggikan suara dengan anak-anak. Seolah-olah anak-anak tidak tahu cara untuk memarahi. Gaya suara dan bahasa ibunya diwarisi oleh anaknya yang sulung iaitu Fathonah.

Oleh yang demikian, emosi dan tingkah laku kedua-dua individu ini mempengaruhi proses pembelajaran mereka di sekolah. Mereka berdua mempunyai karekter dan personality yang berbeza namun keduanya mempunyai impak positif dalam diri. Hasil didikan ibubapa mereka di rumah empengaruhi psikologi perkembangan emosi dan tingkah laku mereka di luar rumah juga. Anak-anak banyak terdidik dengan hasil didikan ibubapa mereka yang sentiasa dengan anak-anak. Penulis mendapati kedua-dua ibubapa responden adalah ibubapa yang cemerlang didikan anak-anak kerana mereka akan sentiasa meluangkan masa duduk bersembang dan bercerita dengana anak-anak tidak jemu walaupun mereka kepenatan bekerja. Hal ini turut memberi kesan kepada penulis sepanjang menjalankan kajian ini.

  

10.0       KESIMPULAN

Secara keseluruhannya, kajian terhadap pemerhatian duan individu kanak-kanak yang berbeza usia ini adalah adalah suatu kajian yang memberi implikasi positif buat penulis kerana penulis merupakan bakal guru.  Kajian ini telah membuka minda dan membina jati diri bagaimana hendak seorang guru untuk membimbing murid pada usia dan fasa perkembangan yang berbeza. Perkembangan kanak-kanak merupakan satu ilmu yang harus dipelajari dan difahami oleh semua pihak terutama guru.

 

Impak daripada pemahaman mengenai ilmu ini begitu besar sehingga mampu mewujudkan satu perubahan yang besar ke dalam sesebuah sistem pendidikan. Ilmu perkembangan kanak-kanak bukan sahaja mengajar mengenai tahap perkembangan kanak-kanak secara fizikal, emosi, kognitif tetapi ilmu yang diterapkan begitu meluas dan impak pembelajarannya juga meluas.

 

Guru merupakan pihak utama yang harus menguasai ilmu perkembangan kanak-kanak kerana guru merupakan individu pertama yang berperanan dalam mendidikan kanak-kanak. Pemahaman guru mengenai perkembangan kanak-kanak akan mampu memartabatkan lagi profesion perguruan kerana guru akan lebih memahami nilai dan sifat kanak-kanak pada tahap-tahap tertentu termasuklah dari aspek intelek, sosial dan jasmani murid.

 

Melalui kajian dan pemerhatian yang dibuat, Teori Perkembangan Kognitif Piaget dan Teori Perkembangan Psikososial Erikson telah memberi satu dimensi baru di dalam sistem pendidikan Malaysia. Pemahaman dan kesedaran pihak pusat serta badan pelaksana yang utama mengenai prinsip atau konsep teori-teori ini menyebabkan dasar dan kurikulum baru yang dibentuk banyak menerapkan teori ini yang boleh membantu negara kita mencapai Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

 

Kesimpulannya, implikasi perkembangan kanak-kanak terhadap guru dan sistem pendidikan negara adalah sangat besar. Perkembangan kanak-kanak juga telah menyebabkan berlakunya satu anjakan paradigma dalam sistem pendidikan negara terutama di dalam pembangunan pendidikan kanak-kanak di Malaysia.


RUJUKAN

Soetjiningsih, C. H. (2018). Seri Psikologi Perkembangan: Perkembangan Anak Sejak Pembuahan Sampai dengan Kanak-Kanak Akhir. Kencana.

Yus, A. (2015). Penilaian perkembangan belajar anak taman kanak-kanak. Kencana.

Jannah, M. (2015). Tugas-tugas perkembangan pada usia kanak-kanak. Gender Equality: International Journal of Child and Gender Studies, 1(2), 87-98.

Puteh, S. N., & Ali, A. (2016). Pendekatan bermain dalam pengajaran bahasa dan literasi bagi pendidikan prasekolah. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, 1(2), 1-16.

Jantan, R. (2013). Faedah bermain dalam perkembangan kanak-kanak prasekolah (4–6 tahun). Dlm. Mahizer Hamzah.(pngr.). Trend dan isu: Pengajaran dan pembelajaran (hlm. 59-69). Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Abas, W. A. W., & Hamzah, A. (2017). Media dalam kehidupan dan perkembangan kanak-kanak. Malaysian Journal of Media Studies, 15(2), 27-39.

Rohani Abdullah., (Edisi 2), Perkembangan Kanak-kanak: Penilaian Secara Portfolio, (2003), Penerbitan Universiti Putra Malaysia.